Khamis, 18 Mac 2010

Jejak Auliya' Siri Pertama.. Semoga Bermanfaat

Alhamdulillah.. Ini adalah siri pertama Jejak Auliya' yang dikelolakan oleh Islam4Peace.net. Semoga semua dapat mengambil manfaat daripada rancangan yang ditayangkan ini. Kami memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan dan kecacatan sepanjang rakaman siri pertama ini dijalankan.. Jazakallah kepada Akhina al-Karim Ust Azrul , Krew Utama Rancangan Jejak Auliya' ini.. Semoga semua dapat mengambil manfaat daripada rancangan ini...

Isnin, 15 Mac 2010

Ceramah Maulid Di Syubro


InsyaAllah , esok saya akan mendiskusikan risalah yang disusun oleh saya sendiri yang saya beri nama " Sirajul Huda Bi Zikra Ihtifal Maulid Sayyidi al-Mujtaba".. Semoga semua dapat mengambil manfaat dan moga kecintaan kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam akan semakin menebal di dalam jiwa sanubari kita semua..Aminn

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah, Mesir

Rabu, 10 Mac 2010

Rancangan Jejak Auliya' Siri Pertama Dilancarkan..bersama Islam4Peace.net

Sekadar pengumuman.. InsyaAllah minggu hadapan Islam4Peace.Net akan menyiarkan rakaman jejak Auliya' bersama Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir..

Sahabat-sahabat boleh melihat trailer Jejak Auliya' Siri Pertama ini di sini :



Semoga rancangan ini bermanfaat buat semua bagi mendekatkan diri kita kepada Allah taala dan RasulNya dengan mengenali para ulama ummah ..

Belasungkawa Syaikhuna Al-Allamah Syaikhul Akbar Dr Muhammad Sayyid Tantawi rahimahullah.. Moga Allah merahmatimu Ya Syaikhana

Pagi ini setelah selesai mengajar kitab Syarah Jauharah Tauhid oleh al-Imam Bajuri rahimahullah di Rumah Kedah Hayyu 7, saya bergegas pulang ke rumah. Dipertengahan jalan , bertemu dengan Akhina Ust Fadhil Abdul Rahman, beliau menyampaikan berita yang menggugah sanubari ini. Berita pemergian Syaikhuna al-Allamah Syaikhul Akbar Dr Muhammad Sayyid Tantawi rahimahullah , Syaikhul Azhar al-Syarif. Serta merta al-Faqir menghubungi Syaikhuna al-Allamah Dr Jamal Faruq hafizahullah , guru yang sangat disayangi oleh al-Faqir dan seluruh pelajar di bumi Mesir. Sekadar ingin mendapatkan kepastian daripada Syaikhuna berkenaan berita tersebut.

Al-Faqir tidak sempat mengenal lama Syaikhuna al-Allamah , pernah bertemu beberapa kali di dalam majlis tertentu. Syaikhuna walaupun seorang yang berkedudukan tinggi di dalam kerajaan Mesir, namun sedikit pun tidak memberikan kesan kepada kehidupannya. Malah terkenal sebagai seorang yang zuhud, tenang , dan sejuk mata memandang. Butir-butir kalam yang keluar daripada beliau mampu menusuk ke jiwa sanubari sesiapa yang ingin memahaminya.

Hilang satu demi satu para ulama ummah. Moga-moga pemergiannya tidak akan melemahkan semangat para penuntut ilmu agama bagi meneruskan pemburuan ilmu di perlembahan Nil ini. Baru-baru ini al-Faqir ada membaca sebuah kitab yang menceritakan tentang para Syaikhul Azhar terdahulu bermula daripada Syaikhul Akbar al-Allamah Muhammad Syannawi rahimahullah , Syaikhul Azhar pertama sehinggalah Syaikhul Akbar al-Allamah Syeikh Jadul Haq Ali Jadul Haq rahimahullah. Kitab tersebut diilhamkan oleh Syaikhuna al-Allamah Dr Sayyid Muhammad Tantawi rahimahullah dan dikarang oleh seorang doktor daripada Kuliyyah Adab .Namun beliau tidak mahu dimasukkan namanya dan cerita kehidupannya di dalam kitab tersebut.

Syaikhul Akbar merupakan seorang yang sangat kuat membaca dan terlalu asyik jika membaca, sehingga diceritakan beliau terpaksa menyuruh salah seorang pembantunya untuk menunggu dan mengingatkan kepada beliau bilamana waktu solat telah masuk,bimbang terlepas waktu solat. Ini kerana jika beliau mula membaca pada awal pagi, maka beliau hanya akan tamat membaca jika telah masuk waktu Zohor.Ini adalah rutin kehidupan Syaikhuna.

Bilamana menelti kehidupan Syaikhuna, seolah-olah terpancar sinar para ulama terdahulu yang terlalu asyik dan masyuk ketika membaca. Kisah al-Imam Isnawi rahimahullah yang membaca bermula selepas Isya’ sehinggalah terlepas solat Subuh hanya kerana terlalu asyik membaca dan menulis sehingga tidak sedar bahawa matahari semakin meninggi. Beliau hanya menyedari bahawa subuh telah tamat bilamana cahaya matahari memancar ke wajahnya. Masya Allah, begitu asyik sekali membaca seolah-olah tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya. Berbeza dengan sikap “pewaris para ulama” sekarang, lebih banyak tidur daripada membaca. Apa yang berlaku kepada kita , adalah sebalik daripada cerita al-Imam Isnawi rahimahullah dan al-Imam Tantawi rahimahullah. Kita menyedari bahawa matahari telah terbit kerana terlajak tidur bukan kerana asyik membaca. Ya , mungkin membaca, tetapi di dalam mimpi. Allahu Allah.

Moga-moga Syaikhuna ditempatkan bersama para Anbiya’, Auliya’, Syuhada’ dan Solihin di sisi Allah taala kelak.Syaikhuna wafat pada pagi 10 Mac 2010 di Makkah al-Mukarramah ketika hendak berangkat pulang ke Mesir.Beliau pergi menemui Allah taala pada umur 82 tahun. Sebelum sempat menaiki kapal terbang di Lapangan Terbang Khalid al-Dauli di Riyad beliau diserang sakit jantung dan dibawa terus ke hospital, namun Allah taala lebih menyayangi ulamanya ini. Beliau dijangka akan dimaqamkan di Baqi’ al-Gharqad berhampiran Baginda sallallahu alaihi wasallam di Madinah al-Rasul sallallahu alaihi wasallam. Al-Fatihah buat Syaikhuna al-Allamah Syaikhul Akbar Dr Muhammad Sayyid Tantawi rahimahullah. Kami tetap merinduimu ya Syaikhana.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syarif & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit, Hayyu 7,
Kaherah,Mesir

Selasa, 2 Mac 2010

Jangan Lagi Maki Hamun.. Tolonglah.. Baca Dengan Teliti..

Ramai yang meminta untuk saya memberikan ulasan tentang ucapan Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat hafizahullah berkenaan Baginda sallallahu alaihi wasallam yang digelarkan “Mat Kampung” oleh Tuan Guru ketika menyampaikan Khutbah Jumaat di Masjid Bukhari Alor Setar pada tahun yang lalu.

Saya memang terkejut dengan pernyataan sedemikian. Namun teguran daripada Syaikhuna al-Allamah Muhammad Nuruddin al-Banjari hafizahullah , sudah cukup saya kira untuk merungkaikan permasalahan tersebut.

Alhamdulillah, kami diajar oleh Syaikhuna Murabbi al-Allamah al-Muhaddis Dr Yusri Rushdi hafizahullah untuk menjaga perkataan dan percakapan bilamana membicarakan tentang Baginda sallallahu alaihi wasallam. Jika bercakap berkenaan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, perlu diraikan beberapa perkara:

1) Perlu merendahkan diri dan merasakan bahawa diri ini hina bilamana membicarakan tentang Baginda sallallahu alaihi wasallam

2) Perlu meletakkan Baginda sallallahu alaihi wasallam sepertimana Allah taala meletakkan kedudukan Baginda. Ini kerana tiada pujian yang lebih tinggi melainkan pujian yang diberikan oleh Allah taala kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Jika perkara ini diraikan ,barulah seseorang tersebut layak membicarakan tentang Baginda sallallahu alaihi wasallam.


Terus terang kita mengatakan, tiada seorang pun yang maksum melainkan para Nabi Allah. Hatta Tuan Guru sendiri tidak terlepas daripada melakukan kesilapan ketika memberikan tadbir ayat. Namun, adakah kesilapan yang saya kira Tuan Guru sendiri telah menyedarinya dan moga Allah taala menilainya akan terus menerus dijadikan bahan cacian dan tempelakan?Justify Full
Saya sama sekali tidak bersetuju dengan perkataan Tuan Guru tersebut. Adakah perlu bagi saya menyatakan ketidak setujuan saya dengan memaki hamun dan mengatakan kata-kata kesat kepada Tuan Guru? Dimana bezanya kita dengan golongan yang suka membid’ahkan Ahlussunnah Wal Jamaah al-Asya’irah dan al-Maturidiyah? Dimana ilmu Tasawuf yang diajarkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam dan para ulama Sufi yang kita ikuti yang mana kita perlu menjaga lidah kita daripada memaki hamun dan tidak membalas keburukan yang dilakukan oleh orang lain kepada kita?

Saya suka dengan cara teguran Syaikhuna Muhammad Nuruddin al-Banjari hafizahullah kepada Tuan Guru. Tiada maki hamun, tiada kata-kata kesat dikeluarkan, yang ada hanyalah kata-kata nasihat yang menggugah jiwa.

Ini yang diajarkan oleh para ulama di al-Azhar al-Syarif kepada kami, dan inilah yang saya timba di Anjung al-Atrak , Anjung Magharibah, Anjung al-Abbasi dan Mihrab Fatimi sepanjang 6 tahun permukiman saya di Bumi al-Azhar al-Syarif ini. Kami tidak diajar membenci sesuatu pihak sehingga menempelak dan memaki hamun.Tetapi perlu dengan hujah dan adab Islam yang tinggi. Jika ini tidak diraikan maka tiada guna kita berhujah.

Saya masih teringat ketika sedang belajar kitab Risalah al-Qusyairiyah bersama Syaikhuna al-Murabbi Dr Yusri hafizahullah di Anjung al-Atrak, Masjid al-Azhar al-Syarif pada tahun 2006,tiba-tiba datang seorang lelaki secara melulu mengatakan bahawa kami semua yang berada di dalam majlis ilmu itu adalah tergolong daripada anak-anak Yahudi. Ini hanya kerana Guru kami ketika tersebut sedang membacakan kitab Tasawuf yang dikarang oleh al-Imam Qushairy rahimahullah. Menyirap darah saya ketika tersebut bilamana seorang yang bencikan ilmu Tasawuf mengatakan sedemikian secara membabi buta. Namun , apa yang saya kagumi adalah sikap Guru Kami , Sang Murabbi Syaikhuna Dr Yusri hafizahullah. Beliau tenang sekali mendengar kritikan lelaki tersebut. Malah menyuruh agar lelaki tersebut bersabar dan menerangkan bahawa majlis ilmu ini adalah majlis membicarakan tentang ilmu Tasawuf. Malah Syaikhuna mengatakan kepada lelaki tersebut, jika kamu tidak bersetuju dengan kami maka jangan mengatakan sedemikian, duduk dan dengar dahulu perbahasannya adakah benar bercanggah dengan Islam? Malah lelaki tersebut, dengan marah-marah lantas keluar daripada Majlis.

Saya ingin melihat, adakah Syaikhuna Murabbi akan mengulas tindakan lelaki tersebut yang memaki hamun sedemikian rupa?Apa yang saya kagumi, sedikit pun Syaikhuna tidak mengulas tindakan lelaki tersebut, malah meneruskan majlis dengan tenang sekali. Malah tidak langsung keluar daripada mulut Syaikhuna “ Cuba tengok perangai puak-puak tak faham Islam ni?”. Malah pada minggu seterusnya, Syaikhuna bertanya kepada kami adakah lelaki yang memaki hamun pada minggu lepas datang? Kami menjawab bahawa dia sudah tidak datang lagi. Maka Syaikhuna mengatakan “ Alangkah ruginya, jika dia masih bersama dengan kita dan terus mengikuti maka tentu dia akan memahaminya nanti”.

Nah, ini perkataan yang sepatutnya kita amalkan, bukannya menempelak dan memaki hamun. Kita tidak bersetuju dengan Wahabi dan al-Imam Ibn Taimiyah rahimahullah tidak bermaksud kita perlu menempelak dan memaki hamun. Sepatutnya kita mendoakan sepertimana doa Baginda sallallahu alaihi wasallam :


Maksudnya : “ Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah hidayah kepada kaumku sesungguhnya mereka tidak mengetahui akan kebenaran”

Kita yang berpegang dengan ajaran Ahlussunnah Wal Jamaah al-Asya’irah Wal Maturidiyah ini sepatutnya menjadi contoh teladan kepada golongan ini. Kita mempertahankan ilmu Tasawuf, sepatutnya kita juga perlu mengamalkannya terlebih dahulu.

Saya tidak mempertahankan Tuan Guru di dalam permasalahan sebegini, malah kebenaran sepatutnya dijelaskan. Namun saya kesal dengan sikap memaki hamun dan menempelak. Malah jika UMNO sekalipun melakukan kesalahan , tidak sepatutnya kita memaki hamun. Sikap sebahagian pihak di dalam PAS yang menjadikan maki hamun dan tempelakan sebagai ulam sambal di dalam ucapan bukanlah sepatutnya menjadi cerminan kepada sesuatu gerakan tersebut. Jika sebahagian sahaja melakukan sedemikian, tetapi kita hukum semuanya seperti itu, maka kita terlalu zalim.

Berapa ramai orang Islam yang berzina, merompak , melakukan kesalahan itu dan ini .. Adakah disebabkan sikap sebahagian umat Islam sedemikian maka kita akan menghukum bahawa Islam itu salah? Tiada seorang pun yang akan menuduh sedemikian, malah orang tidak siuman juga tidak akan mengatakan demikian.

Sudahlah, janganlah memaki hamun lagi. Kita tidak bersetuju dengan satu perkataan yang diucapkan janganlah terus menghukum dengan segala peribadi yang mengucapkan itu seolah-olah tiada kebaikan yang dilakukannya. Saya kira, saya sudah menyampaikan sebaik mungkin apa yang terbuku dihati ini.Ya Allah Ampuni Dosaku Jika Aku Melakukan Kesilapan di dalam Menyampaikan Risalah AgamaMu.

Sedikit Ulasan: Perkataan اهدى adalah fi'il amr. Menurut para ulama Nahwu samada daripada Madrasah Basrah atau Kufah, berpendapat fi'il amr perlulah dibuang huruf illahnya jika terdapat huruf illah padanya . Maka perkataan اهدى akan menjadi اهد . Namun sebahagian ulama meneliti di dalam sebahagian hadis terdapat perkataan yang mana perawinya meriwayatkan dengan menggunakan kaedah tidak membuang huruf illah pada fi'il amr. Maka ini bermaksud ianya perlu ditakwilkan. Kata Guru Nahwu saya di Masjid al-Azhar al-Syarif , Syaikhuna Ahmad al-Nabawi hafizahullah, huruf illah yang tidak dibuang tersebut termasuk di dalam kaedah Ishba'. Maka apa yang saya tulis di atas tidaklah menyalahi kaedah Nahwu. Sekadar ingin mempelbagaikan. Ilmu bukan satu jalan sahaja. Janganlah dengan sebab perkara ini maka kita mudah mencari kesalahan orang lain dan menuduh yang bukan-bukan. Wallahu a'lam

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu di Masjid al-Azhar al-Syarif & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah , Mesir
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...